View Larger Map
Daerah Kemaman iaitu daerah yang paling selatan di Negeri Terengganu. Tahukah anda asal usul 'Kemaman' dan siapakah yang memberikan nama tersebut?Mari sama-sama kita telusuri sejarah dan hikayat tentang asal usul Kemaman ini. Mungkin ramai yang tahu bahawa asal usul nama 'KEMAMAN' adalah daripada sebutan 'KERA MAMAN'. Tetapi lama-kelamaan nama daerah ini telah dipendekkan menjadi KEMAMAN sebagaimana sebutan sekarang.Mengikut sejarah kira-kira 100 tahun yang lalu, ada satu kumpulan pelayar yang terdiri daripada para pedagang serta pendakwah agama Islam telah berlabuh di muara Sungai Kemaman. Mereka ini dipercayai sedang mencari perlindungan dari serangan lanun di negara asal mereka iaitu di Selatan Siam. Sedang mereka sedang berehat di muara sungai tersebut, ketua kumpulan pedagang tersebut iaitu 'Lebai Saras' telah terlihat sekumpulan monyet sedang bermain-main di dahan pokok ditebing sungai.Lalu ia berkata, " Hai awak-awak, cuba lihat monyet-monyet yang sedang bergayut di atas pokok itu. Ekor binatang-binatang itu amat aneh sekali kerana bulu-bulunya berbentuk seperti daun maman".Untuk makluman, daun maman adalah sejenis sayuran yang dijeruk terlebih dahulu sebelum dimakan dengan nasi. 'Jeruk maman' ini amat popular di negeri Terengganu dan Kelantan dan amat mudah didapati di pasar-pasar.Selepas berbincang dengan awak-awak, Lebai Saras bersetuju menamakan tempat tersebut sebagai kawasan 'Kera maman'. Dan lama kelamaan sebutan telah berubah menjadi 'KEMAMAN".Cerita ini telah disampaikan sendiri oleh waris Lebai Saras yang kini menetap di Kg Bukit Mentok Kemaman iaitu Encik Musa Bin Hamdan. Menurut Musa, beliau adalah keturunan yang ketujuh Lebai Saras."Selepas menamakan kawasan tersebut, Lebai Saras dan awak-awaknya telah mudik ke hulu dan kemudiannya telah menetap di sana. Mereka telah membuat keputusan untuk menetap terus di sana. Di antara kampung-kampung yang mereka tinggal adalah meliputi Kg Nipah Panjang, Kg Mak Cili, Kg Pasir Mina, Kg Binjai serta Kg Bukit Mentok di mana telah bertaburan waris-waris dari keturunan Lebai Saras dan awakawaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan