Kembali Laman Utama

Rabu, Oktober 13, 2010

Warisan Pahlawan Resort- (Rumah 150 Tahun)














































Warisan Pahlawan resort
No 22, Kampung Pauh
21700 Kuala Berang
Hulu Terengganu,
Malaysia
Tel: +609-6817751
H/p: 017-576 3236 @019 914 4944
Email : warisanpahlawanresort@yahoo.com 


Jika ke Bandar Kuala Berang, di Hulu Terengganu, jangan lepaskan peluang singgah di Warisan Pahlawan Resort.Terletak kira-kira 5 kilometer dari Bandar Kuala Berang ke arah Empangan Tasik Kenyir, resort yang bertemakan warisan Melayu Terengganu ini sesuai dijadikan destinasi percutian buat seisi keluarga.Kedudukannya betul-betul di pinggir jalan sebuah kampung bernama Kampung Pauh.Pengunjung yang melihat sendiri keindahan dan keunikan empat buah rumah Melayu lama Terengganu itu, sudah tentu akan menghargai usaha pemiliknya mengekalkan warisan bersejarah berusia lebih 150 tahun.Seperti yang diceritakan pemilik resort ini, Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 49, (Pak Tun), asalnya beliau dan isteri, Zaimah Osman, 49, hanya berminat memiliki rumah-rumah lama. Ini kerana mereka sayang melihat rumah-rumah tersebut terbiar reput dimamah usia.Lebih-lebih lagi mengenangkan sebuah daripada rumah-rumah itu pernah menjadi rumah persinggahan Pahlawan Mat Kilau di Kampung Pasir Nering, pada zaman Melayu silam.Menurut Pak Tun, rumah-rumah lain diperolehnya di kawasan pedalaman Hulu Terengganu. Rumah-rumah tersebut kemudian dibawa ke tapak sekarang dan dibina semula dengan sebahagian kecil bahagian rumah yang hilang dan rosak diganti mengikut bentuk asal."Kami kemudiannya mengupah seorang tukang ukir kayu bagi mendapatkan kembali ukiran asal yang kebanyakannya hanya boleh didapati di rumah-rumah milik bangsawan dan orang-orang kaya dahulu," jelas Pak Tun merujuk kepada ukiran kayu yang halus dan berseni pada hujung bumbung rumah yang beratap senggora.Ukiran itu turut dibuat pada siling, kekisi tingkap dan kepala tangga.Usaha pemuliharaan secara persendirian yang memakan masa hampir tiga tahun itu membuahkan hasil apabila keunikannya mendapat perhatian orang ramai yang melalui ke kampung tersebut."Mulanya kami rancang hendak buka sebuah restoran memandangkan saya juga mengusahakan kedai makan di Bandar Kuala Berang. Tapi, bila ada orang yang datang minta disewakan sebagai tempat mereka bertandang sebelum ke rumah pengantin, kami mula bertukar fikiran. Cuba pula menjadikannya sebagai homestay," katanya ketika ditemui baru-baru ini.Bagaimanapun, konsep tersebut terpaksa ditukar apabila mendapat nasihat daripada beberapa pengusaha agensi pelancongan tempatan.Terdapat 13 buah bilik dilengkapi katil kayu. Bagi memberi sentuhan lama, dua daripada rumah tersebut memiliki bilik air yang dibina di belakang rumah."Sengaja saya buat begitu kerana orang dulu-dulu, mana-mana rumah yang ada anak dara, mak ayah akan temankan mereka ke bilik air pada waktu malam sambil menyuluh di bawah rumah. Biar tetamu dapat merasai susahnya orang dahulu jika mahu ke bilik air pada waktu malam," jelas Pak Tun.Apabila datang ke tempat berlatarbelakangkan tanah pergunungan dan Tasik Kenyir di utaranya, alam semula jadi tentu dijadikan tarikan utama.Malah, resort yang dibina di dalam dusun buah-buahan ini juga boleh dijadikan satu destinasi eko-pelancongan. Ini kerana selain Tasik Kenyir, di daerah ini jugalah terjadinya pertemuan tiga batang sungai iaitu Sungai Tersat, Sungai Berang dan Sungai Terengganu.Antara pakej yang disediakan ialah pakej tiga hari dua malam termasuk memancing dan berkhemah di hutan.Selain pakej eko-pelancongan, resort ini turut menyediakan sebuah surau kecil untuk mereka yang memilih pakej kerohanian."Siang mereka boleh mengikuti pelbagai aktiviti seperti trekking atau melawat tempat-tempat menarik di sini. Manakala malamnya dihabiskan dengan aktiviti kerohanian daripada seorang guru agama bertauliah," jelas Pak Tun.Selain keunikan itu, pengunjung juga boleh melihat dan mencuba sendiri beberapa aktiviti masyarakat Melayu tradisional.Antaranya ialah menumbuk emping dan persembahan silat kura-kura. Nikmati buah-buahan secara percuma seperti durian, duku dan langsat apabila tiba musim buah-buahan.Tanpa perlu alat penghawa dingin, suasana dan udara di dalam rumah pada waktu siang sangat selesa. Persekitaran rumah dikelilingi oleh pohon-pohon kayu yang meredupkan suasana.Manakala lantai dan dindingnya ada yang diperbuat daripada kayu dan buluh.Pada waktu malam, selepas menikmati hidangan makan malam, pengunjung boleh juga menikmati keenakan jagung bakar yang terkenal di kawasan Hulu Terengganu.Bayangkan betapa nyamannya ketika anda berbaring di atas katil kayu yang bertilamkan kekabu sambil mata lali merenung alang kayu, tentu sahaja mengembalikan suasana pada zaman silam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan